Semakin hampir bulan ramadan, semakin popular nampaknya kurma. Jika anda bercadang-cadang untuk membeli kurma, ada sesuatu yang anda harus tahu. Kenapa jadikan ia 'buah bermusim' sedangkan banyak khasiat kurma yang boleh kita perolehi termasuklah untuk kuruskan badan.
Mudah sahaja caranya, iaitu menjadikan kurma sebagai hidangan makan malam anda. Kalau sebelum ni makan malam anda dihidangkan dengan nasi dan lauk pauk, cuba gantikannya dengan kurma. Waktu berbuka kurangkan pengambilan nasi dan makanan berat. Ingatlah, matlamat berpuasa bukanlah untuk makan mewah sewaktu berbuka. Tetapi amalan ibadah serta keinsafan yang perlu ada pada diri sendiri. Cuba cara ini dalam masa sebulan, anda pasti akan nampak hasilnya. Badan bukan sahaja akan menjadi kurus, tetapi juga sihat.
Ini kerana buah kurma sememangnya kaya dengan pelbagai khasiat. Kalau anda nak tahu, buah kurma kaya dengan Potassium yang dapat menyeimbangkan kembali kandungan air dalam tubuh badan dan membantu dalam pembinaan otot termasuk jantung serta memelihara sistem saraf.
Bukan itu sahaja, kalau boleh makanlah kurma tanpa perlu membuang kulitnya kerana pada kulitnya itulah terkandung serat. Kurma adalah antara buah-buahan yang amat kaya dengan serat, serat larut mahupun tak larut. Kita sering menganggap buah-buahan seperti pisang itu mengandungi serat yang tinggi, tetapi tahukah anda, dalam 100g kurma terdapat 8g serat sedangkan dalam 100g pisang hanya terdapat 2.6g serat. Kandungan serat yang tinggi amat baik untuk sistem pelawasan.
Buah kurma ini boleh juga dipelbagaikan cara pemakanannya. Selain dari memakannya secara mentah, anda juga boleh membuat jus kurma. Jangan risau, cara membuatnya juga adalah mudah. Asingkan buah kurma daripada bijinya, campurkan dengan lobak merah dan susu rendah lemak. Pastikan susu tersebut sejuk agar dapat mengurangkan rasa muak kerana jus yang akan terhasil akan menjadi agak pekat. Setelah dicampurkan anda boleh terus minum.
Siapa sangka dengan buah kurma kita dapat menguruskan badan. Tapi anda haruslah melakukannya secara konsisten. Janganlah hanya bergantung kepada buah kurma sahaja, tetapi lakukan juga senaman menyihatkan badan yang lain agar kita bukan sahaja kurus tetapi dapat membentuk tubuh seperti yang diidamkan. Ramadan ini peluang yang baik untuk mencubanya.